Saturday, July 19, 2008

Kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang

Mengikut kitab hikayat Tufat n' Nafis, cerita ini berlaku apabila Laksamana Bentan, iaitu Megat Seri Rama, telah berperang untuk menumpaskan lanun di perairan Johor atas perintah Sultan Mahmud Shah II.

Pada suatu hari, isteri Megat Seri Rama yang sedang mengandung, telah bertemu dengan penghulu kebun Sultan yang sedang membawa
nangka untuk dipersembahkan kepada sultan. Wan Anum kemudian telah meminta seulas nangka kerana dia mengidam. Penghulu kemudiannya memotong seulas lalu diberikan kepada Wan Anum. Ketika Sultan Mahmud Syah hendak bersantap tengah hari, baginda menyedari bahawa nangka yang hendak disantapnya telah diusik orang. Sultan Mahmud amat murka kerana dihidangkan dengan sisa orang dan memerintahkan Wan Anum ditangkap dan dibelah perutnya menyebabkan kematian isteri Laksamana.

Beberapa hari kemudian, Laksamana telah kembali ke Kota Tinggi dengan membawa kejayaan cermelang bagi angkatan tentera Johor. Selepas sultan memberi anugerah kepada Laksamana, Megat pun balik ke rumahnya mendapat khabar buruk daripada Tun Aman yang mengatakan bahawa isterinya telah mati. Laksamana merasa marah, kecewa dan menangis apabila mengetahui isterinya telah mati. Megat Seri Rama kemudiannya berazam untuk membalas dendam kepada sultan kerana bagindalah yang memerintahkan supaya isteri kesayangannya dibunuh.

Pada suatu hari Jumaat, Sultan Mahmud Syah bersama pembesar telah berangkat ke
masjid untuk bersembahyang. Sultan telah ditandu oleh pengawal-pengawal istana. Ketika azan pertama berkumandang di udara, Sultan Mahmud terkejut melihat Laksamana berdiri sambil menghalang lalu lintas baginda.

Laksamana berkata "Raja adil raja disembah! Raja zalim raja disanggah!". Sepantas kilat, laksamana terus menikam Sultan dengan kasarnya. Suasana di perkarangan masjid gempar apabila darah sultan yang berdaulat telah mengalir ke tanah! Semua jemaah terpaku. Sultan tidak berputus asa lalu menyentap sebilah
keris yang tersisip di pinggangnya lalu dilontarkan di kaki laksamana.

Sultan terus betitah "Tujuh keturunan laksamana tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi...." Berberapa minit kemudian, baginda menghembuskan nafas yang terakhir. Megat yang tiba-tiba memuntahkan darah pula mati secara tiba-tiba.



MAKAM LAKSAMANA BENTAN
Seperti yang dimaklumi, Makam Laksamana Bentan yang terletak di Kampung Kelantan, 0.5 kilometer dari bandar Kota Tinggi adalah antara makam-makam utama yang menjadi tumpuan para peminat mahu pun pengkaji sejarah, daripada kalangan pelajar sekolah mahu pun sejarawan luar. Sejak diwartakan bahawa ia adalah makam Laksamana Bentan, begitu ramai orang yang mengunjunginya. Laksamana Bentan atau nama sebenarnya Megat Seri Rama adalah hulubalang atau pun panglima kerajaan Melayu Johor ketika di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Syah (1685-1699). Beliau telah membunuh Sultan Mahmud akibat rasa marah dan membalas dendam terhadap pembunuhan isterinya oleh baginda Sultan Mahmud. Laksamana Bentan berjaya membunuh Sultan Mahmud yang ketika itu sedang dijulang sewaktu hendak ke masjid menunaikan solat Jumaat. Kemudian beliau turut dibunuh ketika itu juga, apabila baginda sultan melontarkan keris baginda ke arahnya.

Kisah-kisah berkaitan baginda sultan dan laksamana begitu banyak diperkatakan malah, sebuah filem Melayu bertajuk “Sultan Mahmud Mangkat Dijulang” beberapa kali ditayangkan. Sehubungan itu, rasanya sebahagian besar masyarakat di negara ini memahami kisah tragis lagi bersejarah itu. Selain makam beliau, dikatakan juga bahawa terdapat makam isterinya, Dang Anum dan anaknya, serta tiga makam lain yang kemungkinan terdiri daripada ahli keluarga mereka. MAKAM SULTAN MAHMUD MANGKAT DIJULANG.

Kampung Makam, Kota Tinggi bagai di hujung bibir masyarakat Kota Tinggi mahu pun negeri Johor. Pengiktirafannya sebagai Kampung Bersejarah tidak hanya disahkan oleh penduduk tempatan tetapi juga bagi pihak istana, kerajaan negeri Johor dan kerajaan Malaysia amnya. Selain makam Sultan Mahmud, terdapat tiga makam lain iaitu, Makam Bendahara Tun Habib Abd.Majid Padang Saujana, Bendahara ke-19, Kota Touhid atau makam Touhid. Kedua -dua tempat ini satu ketika dulu pernah dijadikan ibu negeri kerajaan Johor iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mahmud dan Sultan Abd.Jalil III (1637-1673).


Selain tiga kawasan tinggalan sejarah di atas, terdapat sebuah masjid lama iaitu Masjid Sultanah Rogayah yang berusia lebih 100 tahun. Selain makam-makam dan masjid yang disebut di atas terdapat juga makam-makam milik kerabat-kerabat diraja lain. MAKAM TUN HABIB (HABAB) Bendahara Tun Habib (Habab) Abd.Majid Padang Saujana, menurut sejarahnya adalah Bendahara ke-19 kerajaan Johor sewaktu pemerintahan Sultan Mahmud Syah (1685-1699). Padang Saujana merupakan gelaran kepada beliau. Sewaktu pemerintahan Sultan Mahmud, beliau adalah antara bendahara yang berperanan penting membantu kelancaran pemerintahan ketika itu.

Selepas kemangkatan beliau, jawatan bendahara telah digantikan dengan anakanda beliau iaitu Bendahara Maharaja Abd.Jalil sebagai bendahara ke-20. Selepas kemangkatan Sultan Mahmud jawatan Sultan telah digantikan dengan Bendahara Maharaja Abd.Jalil. Penggantian ini telah mengubah tradisi sejarah Kesultanan Melayu Johor. Hal ini kerana buat pertama kali keturunan Bendahara menjadi sultan, oleh itu berakhirlah pertalian darah diraja Melaka yang diwarisi daripada keturunan Sultan Mahmud Syah 1 (sultan terakhir Melaka).


Bendahara Maharaja Abd.Jalil mengambilalih tampuk pemerintahan dengan gelaran Sultan Abd.Jalil IV sebagai Sultan Johor ke-11.yang memerintah dari 1699 hingga 1717. KOTA TOUHID Kota Tinggi di peringkat awalnya terletak di kawasan Kampung Makam hari ini.

Oleh itu terdapat banyak kesan sejarah terdapat di sini. Selain makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan Makam Bendahara Tun Habib, terdapat satu kelompok makam lain yang disebut sebagai Makam Tauhid atau Kota Tauhid.

Di Kota Touhid terdapat beberapa buah makam dan binaan sebuah kota, walaupun rupabentuk kota berkenaan tidak begitu besar, di dalamnya dipenuhi dengan beberapa buah makam.


Terdapat kekeliruan berhubung nama kota ini kerana sesetengah orang memanggilnya dengan nama Kota Touhid manakala sesetengah orang pula memanggilnya dengan nama makam Touhid. Menurut catatan sejarah Johor, Kota Touhid ini pernah menjadi ibu negeri dan pusat pemerintahan kerajaan Johor Tua sebanyak dua kali iaitu ketika pemerintahan Sultan Abd.Jalil III (1637-1673) iaitu Sultan Johor ke-8 dan Sultan Abd.Jalil Riayat IV (1699-1717) iaitu Sultan Johor ke-11.

Selepas pemerintahan Sultan Abd.Jalil, ibu negeri Johor berpindah ke Panchor. Selepas ditinggalkan, kawasan ini dijadikan kawasan perkuburan. Kebanyakan makam yang terdapat disitu tidak diketahui milik siapa kerana dipercayai tiada seorang pun sultan yang dimakamkan di situ.


Kota ini dan bekas tapak istana Kesultanan Johor ini dikatakan diperbuat daripada batu-bata dengan campuran kulit kerang , kapur dan madu lebah KOTA SELUYUT Seluyut merupakan satu tempat yang letaknya kira-kira 10 kilometer dari bandar Kota Tinggi di tebing kanan mudik Sungai Johor.


Bukit Seluyut merupakan salah satu tempat yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Johor pada zaman Sultan Muzafar Syah II (1564-1570) iaitu Sultan Johor ketiga. Setelah baginda mangkat pada tahun 1570, penggantinya Sultan Abd.Jalil Syah II tidak lama bersemayam di situ. Baginda kemudiannya berpindah ke Johor Lama dan memperbaiki semula Kota Batu untuk dijadikan pusat pemerintahan dan pentadbirannya,

Di Seluyut ini juga, Bendahara Johor yang terkenal iaitu Tun Mahmud (Tun Sri Lanang) telah dilahirkan.
Beliau adalah pengarang Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin). Di kawasan ini terdapat dua kelompok makam yang terdiri daripada lima makam termasuk sebuah makam yang dipercayai makam Sultan Muzafffar Syah II yang mangkat di situ.

Makam itu terletak kira-kira 100 meter dari pinggir Sungai Johor. Makam baginda juga di sebut sebagai Marhum Mangkat di Seluyut. Di sisi makam baginda adalah makam adinda baginda iaitu Raja Fatimah. Terdapat satu lagi makam dikatakan makam Sultan Abdul Jalil Syah 1 (Sultan Johor Keempat) iaitu makam yang paling kecil.


Namun makam beliau kini dicatatkan berada di Panchor, oleh itu tidak dapat dipastikan mana kenyataan yang benar. Sultan Abdul Jalil Syah 1 telah dilantik menjadi sultan sewaktu kanak-kanak yang berusia lapan tahun. Baginda adalah hasil perkahwinan Raja Fatimah dengan Raja Omar dari Pahang.


Oleh kerana anakanda baginda masih kecil, Raja Omar memegang takhta dengan gelaran Sultan Ali Jalia Abd.Jalil Syah II atau Sultan Abd.Jalil Syah II (Sultan Johor kelima). Makam Bendahara Seri Maharaja Tun Isap Misai yang meninggal dunia di situ juga boleh ditemui di khaki Bukit Seluyut. Walaubagaimanapun, Kota Seluyut yang menjadi salah satu kubu pertahanan kerajaan pada masa itu sudah tidak kelihatan lagi binaannya. Namun kedudukan bukit tersebut memang strategik sebagai ibu negeri dan kota pertahanan ketika itu.


KOTA BATU SAWAR Kota Batu Sawar terletak kira-kira tiga kilometer menghilir bandar Kota Tinggi di tebing kanan mudik Sungai Johor. Kedudukannya hari dikenalpasti terletak di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Minchu.

Sultan Abd.Jalil Syah II (1570/71-1597) Sultan Johor Kelima pernah menjadikan kota ini sebagai pusat pemerintahan kerajaan Johor. Baginda juga dikatakan mangkat dan dimakamkan di situ dengan gelaran Marhum Mangkat di Batu Sawar. Batu Sawar dibina setelah tewasnya Kerajaan Johor kepada angkatan Portugis di Johor Lama (Kota Batu Johor Lama) pada 1587.

Kota ini lebih kecil berbanding Kota Batu di Johor Lama, tetapi struktur binaannya adalah kuat. Akhirnya, kota ini diserang dan ditawan oleh angkatan Portugis pada 1588.


Menurut catatan Matelief (Ketua Angkatan Perang Belanda), beliau menyebut bahawa Batu Sawar adalah kira-kira 670 meter panjang kelilingnya. Bentuknya hampir empat persegi, kota pertahanannya di pagar dengan pancang kayu yang tinggi dan besar, setinggi 12 meter ke tepi sungai. Selain menjadi pusat pemeerintahan dan pertahanan penting, Batu Sawar juga pernah menjadi pusat tumpuan perniagaan yang dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari Portugis, China, Inggeris, India dan Arab. Pengganti Sultan Abd.Jalil II iaitu putera baginda, Sultan Alaudin Riayat Syah III (1597-1615 iaitu sultan Johor keenam) juga menjadikan Batu Sawar sebagai pusat pemerintahannya.

Sepupu baginda Raja Abdullah ( Sultan Johor ketujuh dengan gelaran Sultan Abdullah Maáyat Syah) bersemayam di seberang Sungai Johor (bersetentang Batu Sawar) dan mendirikan sebuah kota yang diberi nama Kota Seberang. Ketika pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah III (1597-1615),


Batu Sawar telah diserang sebanyak dua kali (1613 dan 1615) oleh Acheh. Sultan Alauddin telah ditawan dan di bawa ke Aacheh lalu dibunuh di sana. Sementara itu, Raja Abdullah dihantar kembali ke Batu Sawar menjadi sultan Johor dengan gelaran Sultan Abdullah Maáyat Syah(1615-1637). Kemudian baginda meninggalkan Batu Sawar untuk berpindah ke Lingga, lalu bersemayam pula di Pulau Tembelan hingga baginda mangkat di pulau tersebut.

Sementara Pasir Raja, kedudukannya tidak jauh dari Batu Sawar menurut catatan sejarahhnya pernah dijadikan pusat pemerintahan sementara oleh Sultan Alauddin Riayat Syah III pada sekitar tahun 1608. Kali terakhir Batu Sawar dijadikan pusat pemerintahan ialah sewaktu zaman Sultan Abd.Jalil Syah III (1637-1673) sultan Johor kelapan. Sewaktu pemerintahan baginda, Batu Sawar diserang oleh anggkatan perang Jambi.


Sejak itu, Batu Sawar tidak lagi dijadikan pusat pemerintahan oleh mana-mana sultan yang memerintah Johor. Penemuan terbaru, sekelompok tiga makam yang masih dipelihara terdapat di situ, makam tersebut berkemungkinan besar milik Sultan Abd.Jalil Syah II dan kerabatnya. Sementara iut, menurut penduduk kampung di situ, lebih sepuluh makam lama dalam kawasan itu telah dimusnahkan oleh pengusaha ladang berkenaan. Di pinggir Sungai Johor, tidak jauh dari binaan kota terdapat sebuah perigi lama.

Di merata kawasan tersebut, ditemui banyak pecahan-pecahan pasu dan tempayan, yang sebahagiannya adalah peninggalan pengusaha kangcu dari negeri Cina, dan mungkin juga ia kesan runtuhan sebahagian binaan kota yang tertinggal. Sementara, bentuk kota yang dikenali sebagai Kota Batu Sawar jelas kelihatan menghadap Sungai Johor.

No comments: